Soalan:
SAYA berusia 20 tahun dan mempunyai masalah membabitkan sperma saya. Baru-baru ini, sperma saya keluar bersama dengan darah. Mungkin ini berlaku kerana saya kerap mengeluarkannya.
Saya sangat bimbang dengan masalah yang saya hadapi ini. Bagaimana hendak menyembuhkannya? Perlukah saya berjumpa doktor? Jika tidak perlu berjumpa doktor, apa yang boleh saya lakukan? Berapa lama pula tempoh masalah ini boleh pulih? Tolong nasihat saya kerana masalah ini menyebabkan saya murung setiap hari.
Mohon Bantuan
Jawapan:
MASALAH yang anda hadapi dikenali sebagai hematospermia. Sekali imbas, ia membimbangkan tetapi dalam banyak keadaan, ia tidak merbahaya. Saudara tidak perlu takut atau risau.
Dalam kebanyakan kes, keadaan ini berlaku akibat pendarahan dari saluran darah yang kecil dalam saluran kencing (urethra) atau dalam kelenjar prostat. Ia boleh terjadi akibat trauma yang minor atau irritasi. Selain itu, sebab berlakunya hematospermia adalah seperti berikut:
- Jangkitan kuman pada saluran kencing
- Jangkitan kuman pada kelenjar prostat (prostatitis)
- Penyakit transmisi seks seperti gonorrhea atau chlamydia
- Masalah pembesaran kelenjar prostat (benign prostate hypertrophy)
- Prosedur keatas kelenjar prostat seperti biopsy
-Trauma kepada kelenjar prostat dan buah zakar
- Kanser kelenjar prostat, seminal vesicle dan pundi kencing.
Jika saudara melakukan onani sebelum itu dan tidak mempunyai tanda jangkitan kuman seperti kencing sakit, pedih atau pengeluaran cecair dari zakar, trauma akibat onani yang kasar boleh menyebabkan pendarahan saluran darah kecil pada sepanjang saluran urethra. Saudara juga tidak perlu bimbang mengenai kanser prostat kerana umur saudara baru 20 tahun.
Dalam kebanyakan lelaki muda, masalah ini akan hilang dengan sendiri. Tetapi tempoh bergantung kepada individu. Bagi sesetengah individu, hanya satu pancutan air mani saja mengandungi darah tetapi bagi individu lain, warna air mani akan bertukar dari merah ke coklat. Air mani kemudian menjadi putih semula. Ini kadangkala mengambil masa beberapa minggu.
Saya ingin menasihatkan saudara untuk berjumpa doktor. Ini kerana pemeriksaan fizikal dan air kencing perlu dibuat untuk memastikan tidak ada kehadiran jangkitan pada saluran urinari.
Jika masalah ini berlaku kepada lelaki yang sudah berumur atau jika ia berlarutan, pemeriksaan lebih lanjut perlu dilakukan. Ini termasuk pemeriksaan sistoskop;, pemeriksaan darah termasuk ujian Prostate Spesific Antigen (PSA); pemeriksaan ultrasound pada pundi kencing; ginjal dan prostat serta jika perlu, biopsi kelenjar prostat akan dilakukan.
Bagaimanapun, dari pengalaman saya, dalam kebanyakan pesakit, pemeriksaan ini adalah normal. Dalam kebanyakan kes, punca sebenar pendarahan dalam air mani tidak diketahui.