SOALAN
Saya remaja lelaki berumur 19 tahun. Semasa berumur 11 tahun, satu detik hitam berlaku dan peristiwa itu mencorak tingkah laku buruk saya.
Pada usia itu, bapa saudara (adik kepada ayah) mengambil kesempatan mencabul dan meliwat saya.
Saya tidak berani memberitahu keluarga mengenai kejadian itu kerana bapa saudara memberi ugutan. Apabila ada kesempatan, dia akan melakukan perbuatan terkutuk itu.
Pada mulanya saya sangat marah tetap lama kelamaan semakin rasa seronok. Saya kini ketagihan hubungan seks terlarang dan kini menjadi seorang lelaki homoseksual.
Saya sering terbabit dalam aktiviti tidak sihat iaitu sering melakukan hubungan seks dengan kaum sejenis.
Saya tahu itu berdosa dan cuba sedaya upaya meninggalkan aktiviti jijik itu. Malangnya kadangkala saya tidak dapat mengawal nafsu. Apatah lagi saya kini tidak bersekolah dan pergerakan serta pergaulan lebih luas.
Saya sering memohon doa kepada Allah S.W.T supaya dapat menghindari tingkah laku buruk ini, malangnya gagal.
JAWAPAN
Terima kasih di atas luahan perasaan dan masalah adik. Nampaknya adik berada dalam konflik kerana mendapati sukar melarikan diri daripada masalah terbabit melakukan hubungan seksual dengan rakan sejenis.
Walaupun adik merasa bersalah dan berdosa melakukannya, tetapi gagal mengawal diri kerana faktor kurang dapat mengawal emosi, nafsu dan perlakuan.
Langkah adik mendapatkan pertolongan adalah satu permulaan yang baik dan menunjukkan adik cuba menjadi insan normal daripada sudut perlakuan tingkah laku seks.
Ia juga berkaitan dengan membebaskan diri daripada melakukan sesuatu yang dilarang agama. Meluahkan perasaan yang dipendam dapat membantu meringankan beban dan tekanan dialami.
Adik menjelaskan bagaimana mula terjebak dengan perkara ini dan saya berpendapat, adik dianiaya oleh orang yang dipercayai. Malangnya “harapkan pagar, pagar makan padi”.
Faktor persekitaran yang terbina melalui pengalaman inilah menyebabkan adik terjebak. Apabila adik merasakan pengalaman homoseksual pertama menyeronokkan, adik meneruskan aktiviti homoseksual secara berterusan.
Pendedahan berleluasa terhadap aktiviti homoseksual membuatkan adik semakin selesa dengan situasi ini.
Ada banyak sebab mengapa seseorang boleh terbabit dalam aktiviti antaranya ialah faktor keluarga. Contohnya, pengalaman atau trauma yang dialami sewaktu alam kanak-kanak.
Seorang anak lelaki yang sering dikasari oleh ibu akan menyebabkan anak beranggapan semua perempuan bersikap kasar, bengis dan panas baran yang memungkinkan akan berasa benci pada kaum perempuan.
Ada pandangan lain yang mengaitkan dengan faktor biologi iaitu perasaan dan nafsu itu terhasil disebabkan oleh bahan kimia dan hormon yang dikeluarkan dalam badan (luar kawalan). Bagaimanapun, pendapat ini masih lagi dibincangkan dan tidak dapat dibuktikan secara menyeluruh.
Faktor dorongan individu pula lahir daripada rentetan proses pembelajaran sewaktu kecil. Ia berlaku kerana kurangnya rasa kepercayaan terhadap ibu dan saudara perempuan (lesbian) dan sebaliknya (gay).
Individu yang kurang percaya pada potensi seksual yang ada pada diri sendiri juga boleh terbabit dalam gejala ini.
Selain itu, keinginan perasaan untuk mendominasi hawa nafsu boleh menyumbang kepada tingkah laku homoseksual. Ada individu apabila harga diri tidak boleh diperoleh dari hubungan lain menyalurkan kepada hubungan kaum sejenisnya.
Keluhan adik adalah pada peringkat pendedahan awal untuk melahirkan ekspresi diri. Sebelum ini mungkin adik berada dalam peringkat tertutup dan kini ingin berkongsi perasaan sebagai seorang gay.
Sebelum membantu mencari jalan penyelesaian membantu adik menangani masalah ini, saya akan kaitkan dengan perspektif masyarakat terhadap individu yang terbabit dengan aktiviti homoseksual ini.
Sering kali punca keruntuhan moral dan tamadun dikaitkan dengan gejala sosial termasuklah kegiatan homoseksual. Aktiviti ini mencacatkan sahsiah budaya dan kesatuan masyarakat.
Kegiatan homosekual sering dikaitkan dengan pembunuh institusi kekeluargaan. Masyarakat akan menjadi tidak sihat dan unsur negatif akan disalurkan dalam institusi kekeluargaan homoseksual. Ini mengurangkan jumlah penduduk dalam masyarakat.
Golongan homoseksual juga sering dipertanggungjawab terhadap gejala kurang sihat dan kepelbagaian masalah kesihatan seperti Aids dan STD. Walaupun jangkitan Aids dan STD disebabkan oleh pelbagai faktor, golongan homoseksual sering dijadikan penyebab utama.
Banyak cara boleh adik gunakan untuk mengurangkan keinginan homoseksual . Antara kaedah yang boleh digunakan ialah kaedah terapi aversi. Terapi ini bagaimanapun dianggap sesetengah orang sebagai kurang beretika kerana ia menyakitkan.
Terapi ini adalah satu bentuk modifikasi tingkah laku yang menggunakan rangsangan yang menyakitkan dalam usaha membantu pesakit mengurangkan tingkah laku yang tidak dikehendaki.
Dalam konteks adik ialah menggunakan terapi ini apabila keinginan untuk melakukan hubungan seks berlaku.
Satu lagi cara yang boleh digunakan ialah melalui penulisan jurnal. Kaedah ini membolehkan adik menulis apa saja mengenai pengalaman dan luahan perasaan dan harapan dalam bentuk penulisan.
Keinginan adik untuk menjauhi aktiviti homoseksual juga boleh ditulis di dalam jurnal ini.
Selain itu, untuk mengelakkan daripada memikirkan keinginan seks, adik lakukanlah kerja berfaedah kepada masyarakat seperti bergotong-royong dan sebagainya.
Intervensi berbentuk keagamaan juga adalah antara kaedah yang sering digunakan. Lakukan ibadat puasa, sekurang-kurangnya dapat mengendurkan nafsu . Lakukan ibadat puasa sunat lengkap dengan syarat, rukun dan adab-adabnya.
Puasa membentuk kita melawan hawa nafsu dengan mengekang diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan atau mencacatkan puasa pada siang hari.
Puasa juga dari sudut psikologinya membantu dalam mengurangkan kegelisahan dan kesihatan mental. Seorang doktor Muslim bernama Abu Malik dalam bukunya berjudul “Puasa dalam Islam dan Fenomena Psikologis” menjelaskan puasa mempercepat proses pemulihan mental. Saya doakan adik akan berjaya mengatasi masalah homoseksual ini.